Dia bertamu ke mejaku
di restoran yang sesak itu
untuk menjual tiket loteri
pada malam yang kian lewat.
Aku menolak.
Tanpa mengeluh, dia terus berganjak
dari sebuah meja ke meja yang lain.
Lelaki tua berpakaian kemeja
daripada gaya berjalannya kutahu
tubuh dan kakinya kurang sihat.
Aku tidak pernah terasa jengkel
oleh kehadirannya
kerana dia cuma manusia kecil
yang terus menyambung sisa hidup.
Sementara di atas sana
orang besar duduk selesa
mengira untung yang datang melayang
duit komisyen melimpah-ruah.
Penjual tiket dalam lelahnya
menggagahkan diri menjaja jualannya
sesuatu yang kita panggil sebagai haram
tetapi dihalalkan oleh mereka
yang kita amanahkan sebagai ketua.
Maka tangan siapakah yang berdosa
tangannya yang menjual?
atau tangan kita yang membuat pilihan?
Jun 2010, Georgetown
