Pahlawan agung dalam lagenda
di belakangnya kepulan asap mengisi udara
kapal ditelan api menyala;
di depan tentera musuh menagih nyawa –
jika menang terkota janji
jika tewas syurga menanti
majulah ia meredah kematian
sekeping hati berbekal iman.
Beberapa kurun selepasnya kita saksikan
para hipokrit cuba menyamakan
diri mereka dengan pahlawan;
di belakang wang, di depan peluang –
jika menang harta direnggut
jika tewas penjara menyambut
teruslah ia menabur berita
sejuta kalam bersulam dusta.
Pengalaman sejarah mengajar kita
bahawa jenaka pun ada hadnya
bila terlebih nampak bebalnya
seluruh dunia bakal tertawa.
.
November 2011, Georgetown
.

