Archive for Julai, 2008

Seperti Dalam Lukisan

Dalam kedinginan seorang pahlawan merenung

ke tengah malam pekat

salju berguguran – serbuk salju

habis berjuang dan tewas, kini darahnya mengalir

ke serata litupan fros yang memantulkan warna perak

menyirami serta menumbuhkan sekuntum bunga magnolia suci

bersemarak dan kemudian layu

di sepanjang edaran zaman.

 

Yang dinamakan epik baginya adalah

menjual kesetiaan dan penghormatan

tetapi bukan hati

kerana hatinya bersemi di sisi

isteri dan anak-anak

ditinggalkan bersama keazaman

menelusuri serimbun kasih sayang.

 

Sebelum mati di tengah kelaparan dan kerinduan

memandang nasi yang tidak dijamah, dia berbicara sendirian

‘saya datang dari sebuah tempat di mana

gunung-ganang di timur dan baratnya

anak sungai beralun di antaranya

puspa-puspa berkembang

sepanjang musim.’

 

‘Di sana, segalanya terlalu indah

seperti dalam lukisan.’

 

 

Rifhan Rasuli, Julai 2008

Pekan, Pahang

Sewaktu Ucapkan Selamat Jalan

‘Ini hanyalah nyawaku yang murah,’

katanya ketika dia berpaling dan keluar

dan melangkah ke dalam bot

membawa bersamanya sebuah pencarian

teguh berakarkan segunung kesetiaan.

 

Bayu laut berpuput deras di pelabuhan

betapa di sudut jiwanya terbina harapan

daripada kejerihan hidup dan

pancang-pancang kemiskinan.

 

Cuma dia kurang memahami bahawa

di pulau yang asing, hampir segalanya

bermula dan berakhir dengan kebendaan.

 

Sebuah benua yang terpencil

jauh daripada kesibukan ‘ketamadunan’

di situ letak hatinya;

meneduhi serumpun kepercayaan.

 

 

Rifhan Rasuli, Julai 2008

Pekan, Pahang

Menggubah Memori

Malam ini, biarkan aku

menggubah satu puisi

tentang sebuah cerita lama

seorang gadis yang berbasikal

di tepian pantai.

 

Kesan tayar berbekas di atas pepasir

berkilauan di bawah pancaran matahari.

 

Matanya tidak mampu kubaca

sama ada aliran perasaan yang menggamit

atau seraga impian

yang datang dan menghilang

sayup bersama pukulan ombak.

 

Namun dia telah membuatkanku lebih mengerti

tentang segala kemahuan

yang tidak mungkin kugapai

dalam kelemahan manusia

berpusar pada buih-buih

di tengah samudera luas.

 

Malam ini, beberapa mimpi lagi

kulepaskan pergi bersama gubahan

puisi-puisi yang tidak bererti

dan mati, dalam kerapuhan duniawi.

 

Lalu semua ilusi merekah dan binasa

seperti kesan tayar basikal itu

apabila disapu air laut

seribu kisah terluput

di kantung waktu yang larut.

 

 

Rifhan Rasuli, Julai 2008

Pekan, Pahang

Seraut Rasa

Suatu ketika dalam keheningan itu kami terpaku

dan mata kami bertentang

bagai berbicara

dengan bahasa yang tidak difahami.

 

Jarum jam yang berdetik halus

seakan menikam seraut rasa

terbenam antara beberapa nafas kegugupan.

 

Cengkerik menyanyi

seekor kupu-kupu

hinggap di atas jari-jemariku.

 

Dan di ambang kekusutan yang gila

aku melepaskan mereka pergi

– kedua-duanya, dia dan kupu-kupu itu –

ke tengah kegelapan.

 

 

Rifhan Rasuli, Julai 2008

Pekan, Pahang