Archive for Ogos, 2008

Masa Itu

Satu siulan

dan nafas yang termengah-mengah

di tengah

malam yang aman.

 

Kami mendakap sepuhan sinaran

bulan yang kian pucat.

 

Dan kami tidak memiliki sebarang kenangan pun

untuk disimpan buat masa hadapan

kerana salah seorang daripada kami

tidak wujud di dunia nyata ini.

 

Kami hanyalah antara beberapa manusia

yang mengimpikan

hidup yang permai.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2008

Anywhere, I just don’t care

Embun Yang Berbicara

Setitis embun

pada pagi hari

pudar dalam kabus sejuk.

 

Imej di tengah kejernihan itu

menukarkan kisah panjang

menjadi

serangkap minuet yang ringkas.

 

Ayam berkokok

fajar mula menyapa

menerusi dedaunan merimbun

ke dada bumi yang terdedah.

 

Segala rahsia terbuka

segala penipuan terlihat, maka

setitis embun terluka.

 

Lalu sekujur tubuhnya rebah

di bawah sebatang pohon rendang

tersenyum sendirian, tangannya menyentuh

sejalur cahaya.

 

Pejamkan mata

kerana tidurnya selepas ini

lebih lama sedikit.

 

Dikelilingi alam yang luar biasa tenang

dia mengharapkan agar mimpi tadi

bersambung kembali.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2008

Yang Telah Lama Kita Tinggalkan

Satu keajaiban, melihatmu di sini

kerana kita tidak pernah diabadikan

dalam gemerlap kelip-kelip.

 

Sebahagian daripada diri ini

terlukis pada cermin

dan selepas kesakitan itu,

 

kita menangis dan kemudian ketawa

air mata dan senyuman

bersatu di sebalik bintang mengerdip.

 

Seperti setahun yang lalu

kita bangun daripada kekecewaan

menjadi bebatuan, menongkah haluan.

 

Selama mana pun, yang tinggal di sini hanya

meja tulis, katil, almari

kita tercampak ke pangkalan hari.

 

Bum. Dan kita memandang ke arah

dari mana suara berkumandang

pucuk-pucuk baru berubah dalam keheningan,

 

terawang-awang, dan sedikit demi sedikit

jatuh bebas

di ruangan masa yang suram.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2008

Pekan, Pahang

Di Stesen Kereta Api

Di hadapan ada perjalanan yang cukup, cukup jauh

merentangi dataran luas, perbukitan, sungai – kristal sejuta mimpi

dan dia pergi bersama angin, air matanya bergenang

bagai ada muzik yang beralun di tengah kesesakan di stesen

lagu sedih melingkari kelopak puspa lili

meruntuni seluruh lembah

terlapik ke atas perasaan yang mencurah.

 

Ucapan selamat jalan, pada hari yang indah ini

menjadi buih-buih yang pecah dalam udara

ketika dia melarikan diri daripada realiti

sehelai sapu tangan renda terbentang

ingatan di bawah rembulan penuh.

 

Bunyi hon kereta api memanggil, dia pergi, dan menangisi

sebuah takdir yang menyusup ke dada suria

hari yang cerah akan tetap menjadi hari yang cerah

cuma kisah di bawahnya menguraikan semua rahsia

perpisahan mengajar kami betapa rapuhnya usia

yang bertamu di permatang sepi, lepas mengerbang.

 

Selamat jalan.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2008

Pekan, Pahang

  

Nota: ‘lili…lembah’ saya rujuk kepada lily of the valley (Convallaria majalis). Mereka kata bunga ini melambangkan kegembiraan yang akan kembali. Para peminat animasi ‘Emma A Victorian Romance’ akan  faham plot yang diceritakan dalam puisi ini.

Manusia Agung

Mereka berbasikal di sepanjang jalan raya yang

tidak terlalu sibuk pada suatu malam terang

jiwa mereka bersemadi dalam kepasrahan takdir

dan mata mereka

memancarkan kegembiraan yang tidak terbayang

menyusur pada bayang-bayang

di sebuah kota kecil yang tenang.

 

Mereka menjumpai satu tin minuman di tepi jalan

dan mereka mengutipnya, diletakkan ke dalam bakul basikal

masih, mata mereka persis berbicara dengan riangnya

sebuah kehidupan yang sentiasa bermakna.

 

Meskipun aku tidak mampu dengan sepenuh jiwa

memahami gema sukacita mereka yang tercermin di muara kesukaran,

aku cuba mendalami isi hati mereka dan hidup bersama

keyakinan serta keredhaan yang mereka tunjukkan.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2008

Pekan, Pahang

Penjual Kertas

Ke hulu ke hilir dia berjalan pantas-pantas menjual

kertas-kertas fotokopi

di atasnya ditulisnya keputusan nombor ekor.

Sepanjang malam dia menyapa wajah-wajah

yang datang dan pergi di stesen itu;

mereka menjadi kabus, bergerak bersama kesesakan hari

yang menghitung-hitung di permulaan jalur pelangi.

 

Setiap perkara pun boleh dibuat duit.

 

Dengan usia yang merangkak tua dia masih

mengharung arus meneruskan sisa nafas yang pendek-pendek

dalam harumnya bau asap rokok berkepul di udara kota

hidup merupakan gelanggang perlawanan yang diakhiri oleh kematian

dan sementara darah suam tetap mengalir,

bangkitlah, dan berjuang

pada setiap nafas yang dihembuskan

ke ruang kejadian.

 

Demikian kami yang memerhati

selalu berada dalam keadaan tidak berhak

untuk mencerca

kerana bagi setiap ucapan yang dapat kami lontarkan padanya,

dia bisa menjawab,

‘kami pun manusia juga.’

 

Di sepanjang malam yang diselaputi kabus

menjadi gambaran bagi sebuah kehidupan

yang berhak diperjuangkan dalam apa keadaan sekalipun

gambaran garisan pelangi yang di hujungnya

berjumpa dengan kesejahteraan abadi.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2008

Johor Bahru

Menjadi Lagenda

Berada di sini, membuatkanku tidak berupaya

membezakan yang betul atau yang salah.

 

Itu adalah diriku yang dahulu –

seorang  pejuang, barangkali

yang rela mengorbankan hampir segalanya

demi terus diingati, selama-lamanya.

 

Berdiri di sini pada masa kini

menatap plak di mana nama-nama terukir

kononnya diabadikan sebagai momento

semuanya bagai berkumpul dan terpukul

di persimpangan keagungan yang mengelirukan.

 

‘Semuanya tinggal sejarah,’

gumamku sendirian, tiada siapa di sampingku.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2008

(Sewaktu berdiri di hadapan plak dinding di belakang Dewan Shah Perdana, Shah Pekan, Pahang)

Kefanaan

Di perkarangan rasa yang mengalungkan

bibit-bibit sentosa

kuperhatikan satu buaian sedang berayun perlahan

lambat-lambat, dalam lemah gerakan udara

ada sedetik imbauan yang dibiarkan

terlepas ke celah kesayuan mergastua.

 

Segalanya terlukis laksana wayang gambar hitam putih

di bawah teduhan pepohon, disentuh daun-daun berguguran

cebisan kemegahan kita berselerakan, lembut

bagai hamparan pasir yang ditujah oleh

benih-benih gerimis.

 

Petang yang asyik sudah menjelang

maka ucapkan selamat datang

kepada realiti, tersadai di danau nurani.

 

Juga ucapan selamat tinggal

kepada dunia yang kian memenatkan.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2008

Pekan, Pahang

Meninggalkan dan Ditinggalkan

Kadangkala aku terdampar di laut biru

mencari kemenangan dan berakhir dengan kehilangan setangkai hati

kemurungan di birai perjalanan membuatkan jiwa sering berbisik:

aku pernah sampai ke sini

ketika kuharapkan semua kesalahan

hanyalah sebahagian daripada kepingan ilusi

dan setiap pagi, apa yang paling kuinginkan ialah

segala-galanya surut sebagai igauan ngeri.

 

Aku meninggalkan masa lalu dan ditinggalkan oleh waktu

aku meninggalkan keyakinanan dan ditinggalkan berkat Tuhan.

Di bawah pohon usia aku mengerti sendiri

separuh daripada hidupku telah dihabiskan

demi sebuah pencarian dan menjawab persoalan

sehingga tiada apa lagi yang mampu

dirungkaikan di sudut rasa ingin tahu.

 

Aku meninggalkan nostalgia

dan ditinggalkan oleh peristiwa

sehingga tersedar bahawa akulah

orang yang paling ketinggalan dalam perlumbaan

mencari kepastian.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2008

Yishun, Singapore