Archive for Oktober, 2008

Mencari Teduhan

Datang kepadamu, sewaktu

gerimis mula menguntum dalam kekebasan

lalu aku memetik kelopak-kelopak kelmarin

yang kujadikan sebagai warkah

agar engkau terus wujud bersama

cebisan kenangan pahit manis.

 

Datang dan pulang, masih kepadamu

dalam bayang yang menutupi segelas duka

lalu aku menepis resah yang mencurah

di pelabuhan kecil di mana

kepingan-kepingan cerita yang gagal kucantumkan

terurai perlahan di tengah hujan.

 

 

Rifhan Rasuli, Oktober 2008

Portobello, Dublin

Terpegun

Lihat mereka jatuh bagai

bunga-bunga berguguran

dari tembok besar yang lesu.

 

Mereka yang di bawah bersorak

‘lagi, lagi!

bunga dari langit!’

 

 

Rifhan Rasuli, Oktober 2008

Dublin

 

Nota: Gambar yang diselitkan bersama puisi ini ialah bunga Tibet. Puisi ini bukan tentang kecantikan, tetapi kisah sejarah salah sebuah kerajaan yang memerintah Tibet pada masa lampau. Kerajaan itu diserang dan ditewaskan oleh musuh mereka, tetapi raja yang memerintah kerajaan tersebut berjaya melarikan diri melalui laluan rahsia di bawah istana. Bagi memaksa raja berkenaan memunculkan diri, tentera penakluk melakukan pelbagai seksaan terhadap rakyat negeri itu, dan raja yang masyhur dengan sikap pengasihnya kepada rakyat itu akhirnya menyerah diri bersama keluarganya.

 

Raja dan semua ahli keluarga lelaki dibunuh. Ahli keluarga wanita dan kanak-kanak dicampak dari tembok tinggi yang memagari istana mereka. Pakaian mereka yang dilempar jatuh itu berwarna-warni jika dibandingkan dengan latar belakang salji di kawasan pergunungan tersebut, sehingga ada tentera penceroboh itu menyatakan bahawa mereka ibarat ‘bunga-bunga yang berguguran’.

 

Mereka dicampak ke bawah satu demi satu dan mati, manakala askar-askar penceroboh yang berada di bawah tembok tersebut, sama ada terpesona dengan kecantikan ‘puspa-puspa berguguran’ atau bercampur baur dengan rasukan dahaga akan darah, bersorak, ‘Lagi! Lagi! Bunga dari langit!’

Ramadhan Yang Tidak Menginsafkan

Datang dan pergi

bagai tetamu

di teratak malap ini.

 

Kita sama-sama adalah perantau

memegang ranting-ranting patah

melukis di atas pepasir

dan lakaran itu

merupakan satu pencarian

di dada senja, gemerlap emas mulai pudar.

 

Maafkan aku, Ramadhan ini

aku masih belum berubah.

 

Kehidupan dan aku –

camar yang terbang merentas julangan ombak;

tersungkur ke Pentas Sunda

yang diberi nama ‘keangkuhan’.

 

Maafkan aku, sayang

jika aku menjadi tuan rumah yang dingin

dalam buaian

sebuah fantasi yang mempesonakan.

 

 

Rifhan Rasuli, September 2008

Pekan, Pahang