Archive for Disember, 2008

‘Mereka Kata 100 Tahun’

titisan-air

(Ingatan kepada para pejuang/sukarelawan Ikhwanul Muslimin yang berjuang menentang Israel pada awal pengiktirafannya)

 

“Your eyes are a mirror in which I can see the world’s reflection

without even forgetting your kindness

even if my heart is full of sad words

I will still stare long and hard at the stars.”*

 

Barangkali, ada beberapa rangkap lagu dari kampung halaman

yang mereka nyanyikan sewaktu berangkat

ke sebidang tanah bukan milik mereka.

 

Mereka pengembara dan pejuang sekaligus

ketika bergerak merentas sempadan, ke sebuah nusa

yang belum pernah mereka sampai

yang mereka tidak berhasrat untuk menetap di sana.

 

Mereka datang cuma untuk pembebasan.

Keringat yang menitis sepanjang perjalanan ini,

air mata yang berjurai sepanjang kesedihan ini,

darah yang memercik sepanjang kesakitan ini,

menjadi baja yang menyuburkan sebuah janji.

 

O tiada yang lebih indah melainkan desa sendiri

tetapi mencari haluan bukan seperti memetik dedaunan

kerana kehidupan merupakan gelanggang perjuangan;

mereka yang hidup adalah mereka

yang mempunyai tujuan dan kesanggupan

untuk meninggalkan segala-galanya demi keyakinan.

 

Hidup, mereka yang mencari haluan

hidup, mereka yang tidak dibayar gaji atau ganjaran

hidup, mereka yang mengembara dan mengangkat senjata

dan berikrar demi pembebasan serta keadilan.

 

Selepas kematian itu ada taman-taman segar menanti.

Yang ditinggalkan setelah kematian itu jalan kehidupan untuk diikuti.

Yang abadi dalam sejarah ialah nama mereka yang tidak takut mati.

 

Yang dijunjung adalah sekalung janji

yang ditinggalkan adalah para pengganti, yang tidak putus-putus

kerana benarlah janji itu – kecekalan dan kebenaran tidak akan pupus

bahkan mengalir dalam darah anak-anak kecil yang kemudiannya mendengar

kisah mereka.

 

 

Hamba Tuhan, Disember 2008

Doa dan harapan dari Dublin

 

*Diambil daripada siri anime ‘Kino’s Journey’

Sebelum Pergi

a-smile-is-forever

(A smile is forever)

 

Sebelum pergi, ingin kulukiskan

cerita baik tentang semalam

senyuman itu biar kekal selama-lamanya.

 

Ketika kulihat nafasmu berkocak dalam

segugus sepi yang melanda hati,

angin sedang berhembus membawa bersama

suaramu yang sayup direnggut sejuta peristiwa.

 

Jika hidup terlalu malang maka esok

kuntum-kuntum baru bakal menjelma

usah menangis, kerana nafas dan kegembiraan

sedang melata di bawah cahaya

dan kaubakal saksikan padang pengharapan itu

semuanya milik kita.

 

Sebelum pergi, ingin kusemaikan

serpihan impian yang tulus

di atas robohan mimpi semalam.

 

Agar nanti apabila kulukiskan lagi

pagi yang cerah dan makmur

aku akan terpandang wajah ceria itu

dan senyuman itu biar kekal selama-lamanya.

 

 

Rifhan Rasuli, Disember 2008

Dublin

Zaman Keemasan

cpi-1800

(Lagu latar semasa membaca coretan ini: ‘Where Do the Children Play’ oleh Cat Stevens a.k.a. Yusuf Islam)

 

Aku pernah mengimpikan

untuk menjalani hidup penuh dengan

rasa kerendahan diri,

tetapi dunia terlalu sombong

manusia terlalu sombong

dan aku terlalu sombong.

 

Aku pernah mengidamkan sebuah kehidupan

penuh dengan rasa kesyukuran,

tetapi dunia tidak pernah cukup

manusia tidak pernah cukup

dan aku tidak pernah cukup.

 

Zaman berubah,

baru 50 tahun lalu

satu keluarga dapat hidup sentosa

dengan hanya seorang pergi bekerja

dan dapat memiliki

sebuah rumah, kehidupan sederhana

serta menghantar anak-anak bagi

mendapatkan pendidikan.

 

Zaman ini terlalu pantas

kemahuan tidak terbatas

keperluan kian bertambah

inflasi menggila dari tahun ke tahun.

 

Dan kita semakin lemah.

 

Zaman berubah dan mengubah kita

mengubah jiwa kita

mengubah hidup kita.

 

 

Rifhan Rasuli, Disember 2008

Dublin

Mimpi Sedih Musim Larut

musim-larut

(Ditulis setelah terbangun daripada mimpi buruk – akhir-akhir ini terlalu banyak mimpi sebegitu)

 

‘Engkau telah pun menyerahkan lebih daripada yang sepatutnya,’

ujarku padanya di persimpangan itu semasa petang mula berlabuh

(dia merasakan bahawa dia tidak bersalah tetapi

aku telah pun mengekorinya sejak mula

dan mengetahui segala rahsianya).

 

Hidup kami dipagut kemiskinan dan kejahilan, itu hakikat

dan seorang gadis kecil yang mengejar cintanya

sedang menyaksikan daun-daun musim larut.

 

Waktu itu aku hanya mampu melihat dan tidak mempercayai,

orang yang paling kuhargai sudah menjadi boneka ketika

dia begitu setia pada kemurnian rasa.

Dia wanita naif seperti juga wanita lain

kelopak puspa yang sepi lalu berguguran

dirungkai gerak hati dan renungan mata tidak berdosa.

 

Aku lelaki celaka kerana tidak tampil

menyelamatkannya daripada pembohongan hidup,

lalu ingatan tentangnya menjadi debu-debu beterbangan

di tepi jalanan tatkala sekali lagi, buat kali terakhir, kulewati simpang itu.

 

 

Rifhan Rasuli, Disember 2008

Dublin

Tempat Pulang

abandoned-office

Di sebuah bangunan usang dan ditinggalkan

aku menyelongkar rekod-rekod lama

antaranya, ada kisah tentang diri kita

yang tertulis dengan tinta senja.

 

Waktu itu berapa kali pun kita menyesali

sesuatu yang telah pergi,

kenangan tentang kita sudah pun luput

segala kemegahan kita menjadi sisa-sisa

sejarah yang dilupakan.

 

Namun untuk segalanya itu, aku bersyukur

kerana pernah diberikan nikmat

untuk menjadi sebahagian daripada hidup

dan mempunyai tempat untuk pulang.

 

 

Rifhan Rasuli, Disember 2008

Dublin

‘Phantasm’

illusion

Kami terlihat seurat benang

jatuh dan tercelup ke dalam segelas air

suasana di sekeliling begitu sugul

permukaannya menyerlahkan gelombang bulatan

melingkari setangkai hati yang tercalar

pada semalam yang terlalu penat.

 

Gelas itu kosong, sebenarnya

kerana apa yang lazimnya kelihatan

tiada di situ – fatamorgana.

Apa yang ditatap

menjadi gema yang tidak nampak

dalam suasana sayu dan malap.

 

Waktu itu kami telah berjanji

untuk tidak dibutakan oleh

segala kecantikan dan keanggunan.

 

Buat kami yang pernah dilekakan

oleh mimpi dan ilusi

siang menjadi sebahagian daripada wajah

tersimpul dengan seribu warna

malam menjadi tempat mencurahkan rasa

pada secebis kesaksian polos

mata kami menjelajahi semesta.

 

Semakin jauh kami merenung ke langit

semakin kami memahami

sesuatu yang wujud dan sesuatu yang menghilang

dan semuanya – bersatu dalam pembohongan

yang selama ini sungguh-sungguh kami kejari.

 

 

Rifhan Rasuli, November 2008

Dublin