Archive for Mac, 2009

Masa Suram, Masa Tenteram

follows-me-home-photoshopedited

Dia mengikutku pulang

selepas tragedi itu

air matanya telah kering

yang bersisa hanya

bumi yang menghijau

mengiringi kami ke kampung halamanku.

 

Matahari yang jatuh di sebalik gunung-ganang

memadamkan bayang kami;

barangkali segala ingatannya tentang masa lalu

sudah lenyap, pergi bersama

siang yang berangkat jauh.

 

Bersama masa hadapan yang tidak pasti

kubiarkannya menuruti langkahku

kerana selain ke arah ini,

dia tidak mempunyai tempat lain

untuk ditujui.

 

 

Rifhan Rasuli, Mac 2009

Dublin

Advertisements

Peralihan Watak

drama

Kesilapan besarmu adalah kerana

engkau menganggap dirimu sebagai

watak utama

dalam cerita yang membosankan ini.

 

Melangkah, dalam kehidupan

biarlah setapak demi setapak,

daripada watak kodi

kepada watak sampingan

menjadi watak utama.

 

Bagaimana seorang watak kodi tiba-tiba

mampu untuk terus menjadi protagonis di matanya?

 

Manusia bencikan perubahan mendadak

tambahan pula jika perubahan itu – atau dirimu –

tidak termasuk dalam rancangan masa hadapannya.

 

Maka ketika itu, akhirnya,

kesudahan bagi cerita yang membosankan ini

adalah kematian seorang watak kodi

di tengah malam yang sunyi-sepi.

 

 

Rifhan Rasuli, Mac 2009

Dublin

Yang Kaupanggil ‘Genius’

leonardo-da-vinci

Jika engkau mahu merintih, mengenangkan

ketidakmampuanmu untuk menjadi yang terunggul,

maka merintihlah sehingga esok;

aku tidak peduli.

 

Tuhan memang menciptakan manusia kepada dua golongan –

mereka yang genius, dan mereka yang tidak.

 

Sama seperti Dia menciptakan paras rupa –

mereka yang cantik, dan mereka yang tidak.

 

Maka jika engkau mahu mengeluh, mengenangkan

malangnya ketentuan hidupmu,

maka mengeluhlah sehingga esok, lusa atau selamanya;

aku tidak akan peduli.

 

Tuhan berbuat begitu kerana Dia maha adil.

 

Kerana semua yang tercipta itu

– genius dan kecantikan –

bukan menjadi kayu ukur

untuk beroleh pandangan-Nya.

Tidakkah kau terfikir tentang ini?

 

 

Rifhan Rasuli, Mac 2009

Dublin

Di Dunia Luas

earthweb

(Buat semua manga scanlators yang menghadiahkan warna-warni dalam kehidupan para peminat manga di seluruh dunia)

 

Globalisasi menemukan kita

di dunia tanpa sempadan.

 

Minat menjadikan kita kawan

sebuah dunia dan kehidupan

yang kita kongsi, walau terlalu jauh.

 

Di benua maya

apabila kita saling tidak mengenali,

bahasa dan kesantunan mengatasi segalanya.

 

Di benua maya, apabila kita tidak mampu

melihat ke arah satu sama lain,

warna kulit bukan lagi menjadi ukuran

ideologi tidak dapat membataskan.

 

Kita hanya melihat ke masa hadapan

dan masa kini, mengisi serta mewarnai

hidup kita.

 

 

Rifhan Rasuli, Mac 2009

Dublin

Di Gelanggang Tenis

tennis-court-oath

(Mengingati dan mengaplikasi peristiwa Tennis Court Oath)

 

Idea dan aspirasi

tidak pernah menemui sempadan.

 

Kunyatakan ini kepadamu kerana

sejarah cenderung untuk berulang

dan apabila hari itu tiba,

sistem yang paling hebat sekalipun

bakal runtuh dan menjadi

kenangan pahit masa silam.

 

Ada beberapa perkara besar

yang tidak akan mampu kausekat;

ketika mereka yang diberi kepercayaan

terus utuh mengibarkan panji –

gelombang itu gemanya bergetar,

rajawali yang dibebaskan daripada

seribu tahun sangkar tradisi.

 

Kita boleh berkumpul di mana sahaja

meski kesaksamaan telah terpaku

di tembok besi, di belakang perisai,

kerana yang menyeru itu

bukan suara satu tubuh

tetapi titisan darah dan keringat

yang menyuburkan bumi ini.

 

Idea dan aspirasi

akan membawa takdir

melewati segala sempadan.

 

Kunyatakan ini kepadamu kerana

di hadapan mataku kusaksikan

perubahan semakin hampir!

 

 

Rifhan Rasuli, Mac 2009

Dublin

 

*http://en.wikipedia.org/wiki/Tennis_Court_Oath

 

Artis

lost-moment

Aku cuba memahamimu

seluruh jiwa ragamu yang terkubur

di bawah lukisan hitam putih itu.

 

Ketika awan semakin mendung

kaukembangkan sepasang sayap

untuk keluar dari semak-samun

dan mengabadikan segala kepayahan,

ingatan suram, kejalangan, kegilaan

di atas kertas yang sedikit sekali

dibaca dan dikagumi manusia.

 

Apa yang kaulakar bertukar menjadi

masa yang menghilang, bagaikan

air mata di dalam hujan.

 

Apa yang tersurat dalam fikiranmu

memayungi kelikir-kelikir misteri, yang kutahu,

memerlukan masa yang sangat lama

untuk kutafsir dan kulalui sendiri.

 

 

Rifhan Rasuli, Mac 2009

Dublin