Archive for Julai, 2009

Jalan Jauh Yang Kaupilih

long way 

Yang paling cantik itu ialah tanganmu

yang menadah ke langit

meminta dan mengharap.

 

Ia adalah perjalanan yang jauh,

kutahu benar tentang itu.

 

Yang paling lembut itu ialah dadamu

yang ditiup angin keredhaan

jadilah ia jiwa-jiwa yang tenang.

 

Hari ini, kumpulan merpati bermain-main

   di tepi tempat dudukku

dan aku bermimpi tentang sukma yang merdeka

tentang mereka yang terbang ke mana sahaja

di kediaman yang dijanjikan.

 

Dalam perjalanan yang jauh, kutahu

ada tempat pulang sempurna

kerana engkau memilih jalan sukar

maka yang menantimu istirehat yang kekal.

 

 

Rifhan Rasuli, 7 Julai 2009

Piazza San Marco, Venice

 

Advertisements

Selamat Mengerti

eiffel tower 

Buat engkau, yang tidak dapat

kubayangkan paras rupamu

meski dalam imaginasiku yang paling liar,

kuucapkan selamat malam.

 

Buat pemikir dan perindu

yang disuluhi barisan lampu berkilauan

kuucapkan selamat jalan.

 

Aku pula menunggu agar waktu

menjadi lebih malam.

 

Kerana aku bukan burung yang terbang bebas.

 

Aku hanyalah layang-layang

sama ada dikekang oleh tali

atau terputus tanpa haluan.

 

Aku manusia, sama ada dilindungi iman

atau terputus daripada jagaan Tuhan.

 

 

Rifhan Rasuli, 5 Julai 2009

Sambil menghadap Eiffel Tower, Paris

 

Pada Senyum Monalisa

monalisa 

Pada senyum Monalisa

aku tidak menemukan apa-apa

(barangkali kerana aku kurang arif

tentang nilai seni halus).

 

Ada perkara yang sediakala hebat

dan ada perkara yang ‘dihebatkan’

oleh manusia pada era berikutnya.

 

Senyum Monalisa – aku tidak tahu

jatuh di bawah kategori mana.

 

Perkara yang sediakala hebat, adalah seperti

ciptaan Tuhan.

 

Tidakkah senyuman anak-anak yang menyambut pulang

seorang ayah daripada seharian penat bekerja

lebih hebat berbanding segala senyuman?

kerana senyuman itu menghilangkan lelah.

 

Tidakkah senyuman seorang ibu di mata anak kecilnya

lebih hebat berbanding segala senyuman?

kerana senyuman itu memberikan ketenangan,

melenyapkan ketakutan dan kebimbangan.

 

Setiap senyuman, barangkali, jatuh

ke arah sentuhan peribadi.

 

Biar di dinding itu Monalisa tersenyum.

 

Biar di mata kita dunia tersenyum.

 

 

Rifhan Rasuli, 5 Julai 2009

Museum du Louvre, Paris

 

Nota: Gambar di atas ditangkap di Museum du Louvre setelah menunggu, bersesak-sesak dan meredah gerombolan pengunjung di galeri Monalisa dipamerkan

 

Mengabadikan

van_gogh_wheatfield_with_crows2

(Refleksi daripada lukisan Vincent van Gogh ‘Korenveld met kraaien’ – Wheatfield with crows, 1890)

 

Dia melukis pohon-pohon berkembang untuk dijual.

 

Dia melukis segala keredupan untuk dirinya.

 

Padang gandum dan burung gagak.

 

Pada jiwa yang kian mati, ingin ditinggalkan

karya agung yang akan diabadikan.

 

Namun sedarkah engkau, kawanku,

lama manakah dunia ini dapat bertahan?

 

Demikian akhirnya, kita tetap merupakan

padang gandum dan burung gagak

penamat sempurna segala karya.

 

 

Rifhan Rasuli, 2 Julai 2009

Van Gogh Museum, Amsterdam