Archive for September, 2009

Semenanjung Yang Tercarik

oslo fjord

Mendamparkan diri, di antara

kota, pantai dan fjord

yang sering pula meluruhkan hati

pada peralihan musim tenteram.

 

Kucuba menyalami buih-buih di lautan

dari atas feri itu, tetapi

percikan air menerpa ke mukaku

dalam iklim dingin

dalam rasa yang tidak merelakan.

 

Bagai aku diberitahu

bahawa hati ini pun selalu ditampar

di seantero lapangan masa

yang melunjur jauh dan saujana

di semenanjung usia lanjut.

 

 

Rifhan Rasuli, September 2009

Oslo

 

Ad-lib

sketcher2

Engkau berdiri di halaman depan

menyambut kami sambil berkata,

‘selamat datang ke dunia

yang kulakarkan.’

 

Lalu engkau buat kami

tersenyum dan ketawa

dan kami berterima kasih

atas segala pengalaman ini.

 

Lalu engkau buat kami

bermuram durja dan (kadangkala)

menitiskan air mata

namun kami tidak pernah bersungut.

 

Kerana itu hakmu, untuk

mencipta dan memusnahkan harapan

sebagai penulis

sebagai pelukis.

 

 

Rifhan Rasuli, September 2009

Dublin

 

Kepulangan

DSC02456

Aku pulang kepadamu

seperti sebelumnya

seperti malam yang tetap berlabuh.

 

Sebab itu, engkau akan ingati aku

yang berdiri teguh di antara

rumput-rumput dan bunga-bunga liar

di dataran redup

pada hujung musim panas itu.

 

Aku pulang kepadamu

seperti selalu

sebagai kisah klasik

yang mahu diabadikan sepanjang waktu.

 

 

Rifhan Rasuli, 22-24 Ogos 2009

Haworth

 

More pictures