Archive for Oktober, 2009

Pentas Mahasiswa

idealisme

Pentas mahasiswa atau kulit kosmetik –

percayalah, aku cekap membezakannya.

Di cermin bicara, hakikat dan retorik

begitu mudah untuk dipisahkan.

 

Ia hanya slogan – apabila kita

terlalu malu untuk bersuara

pada wadah yang luas terbuka mahupun

ruang kecil yang kian dikecilkan

atas nama teknikaliti dan ketertiban.

 

Lihat ke arah jendela yang di sebelah luarnya

pemandangan sejahtera merumpuni warna;

tiada apa yang perlu digentarkan

kerana mengkritik bukan mengutuk.

 

Kita mesti cekap membezakannya –

di atas pentas maknanya menerima dan memberi

bukan sekadar menadah telinga

di tengah majlis dan upacara.

 

Medan mahasiswa itu gelojak idealisme

didasari panas jiwa muda

pragmatik, peka dan terbuka minda

untuk menyetujui atau menyanggah

segala isu yang hadir mencelah.

 

 

Rifhan Rasuli, Oktober 2009

Dublin

 

Ketika Berjalan

sujud-01

Tundukkan kepalamu

ketika berjalan di muka bumi

selepas menatap langit tinggi

biar egomu menyembah tanah

biar hatimu redha berserah.

 

Angkat kepalamu

ketika berjalan di hadapan mereka

engkau bukan manusia lemah

tunjukkan nekadmu pantang menyerah.

 

Biar di hadapan mereka

engkau menjadi manusia terhebat

dan di hadapan Tuhan

engkau hamba paling taat.

 

 

Rifhan Rasuli, Oktober 2009

Dublin