Archive for November, 2009

Ke Dalam Kepalanya, Dan Kehidupannya

mri film

Jauh di dalam anak mata lelaki itu

ada perasaan yang tidak terucap, tatkala

berpuluh-puluh manusia

sedang melihat ke dalam kepalanya.

 

Aku cuba memahaminya, sama seperti

sewaktu kucuba meneliti lingkungan luka

yang ternampak pada filem MRI otaknya.

 

Aku cuba memahami sama ada

renungannya terhadap kami bermaksud kebimbangan

atau keikhlasan membenarkan kami

mempelajari sesuatu daripada deritanya.

 

Aku mahu berdoa agar dia sentiasa sejahtera.

 

Aku mahu memerhatikannya tersenyum

bukan kerana jenaka yang kami timbulkan

tetapi kerana pengharapan yang bakal tiba.

 

Dalam diri kami ada pantulan kebingungannya,

ketulusannya, serpihan kewujudannya, impiannya.

 

Memang benar, kehidupan adalah berkenaan

nafas pertama dan nafas terakhir.

Namun itu bukanlah segalanya!

 

Kerana di antara dua nafas itu

ada kisah unik dan dramatik – sebuah realiti

yang menjadikan manusia

subjek menarik untuk difahami.

 

 

Rifhan Rasuli, November 2009

Dublin