Archive for Januari, 2010

Malam Gemilang

Aku berjalan tanpa memikirkan tentang berjalan

di bawah salji yang turun mencurah

– malam gemilang –

jalan raya, kaki lima dan segalanya telah memutih.

 

Ketika kameraku merakamkan saat-saat gemilang itu

memori terasa begitu pendek

seperti masa yang mengecut

ke permulaan yang memungkinkan seluruh kewujudan.

 

Ingatan itu sesingkat kembaraku

mencari tempat perlindungan daripada kedinginan

pertengahan musim sejuk ini.

 

Dengan lemah-lembut, hujan fros memenuhi setiap penjuru

bagai dalam sunyinya ia mengucapkan selamat jalan.

 

Hanya yang tertinggal sewaktu aku berlalu

kesan tapak kasut di atas timbunan ais.

 

Ah, kehidupan, jika tersadai di tengah lorong

biar ia menyemikan suatu makna

tetapi jika terus ia berpusar

biarlah maknanya lebih besar.

 

Kehidupan – wilayah rindu yang berputik

untuk sesuatu yang tidak nampak

sebuah titian dan medan

yang meresap ke segenap nafas dan ingatan.

 

 

Rifhan Rasuli, 31 Disember 2009

Dublin