Archive for Februari, 2010

Ke Rimba Purba

 

(Cadangan lagu latar: ‘Welcome to The Jungle’ oleh Guns N’ Roses)

 

Selamat datang ke rimba

yang menganjur ke masa purba.

 

Di hutan ini, peraturan tercekik di leher nafsi

logik tertonggeng di tebing korupsi.

 

Bahasa yang mampu dituturkan pula

menjadikannya lebih mudah

untuk memberikan alasan

bagi setiap penindasan.

 

Buat mereka yang enggan membuka mata

biarkan diperbodoh selama-lamanya.

 

Selamat datang ke rimba purba

pada keadilan yang tinggal nama;

zaman gelap kian menjelma.

 

 

Rifhan Rasuli, Februari 2010

Pekan

 

Puspa Tulip

 

Kujengah ke halaman belakang

pucuk-pucuk menghijau mulai bercambah

dari tanah hitam di ruang yang sempit.

 

Ia akan menguntum pada musim bunga nanti,

tetapi hayatku di sini tidak dapat menjangkau

musim bunga tahun ini.

 

Walaupun begitu, dalam mindaku ia telah pun berkembang

puspa tulip dengan aneka warna yang paling cemerlang.

 

‘Apabila waktunya tiba,’ pesanku pada mereka

‘tolong ambil gambarnya

dan kirimkan kepadaku.’

 

Benih-benih yang suaranya tidak kedengaran

persis bertatih dalam serangkai ketulusan;

ia tahu aku benci mengucapkan selamat jalan.

 

Di wilayah asing yang menghadiahkan pengertian

apa yang kutanam seperti menjadi sebahagian daripada diriku

iaitu, daun-daun yang baru melata –

sebuah hidup yang dimulakan semula.

 

 

Rifhan Rasuli, 7 Februari 2010

Dublin

 

Perspektif

Wajahmu terlindung di sebalik daun berguguran

perspektif – dari sudut ini satu potret bagai terlakar.

 

Bukankah hebat? Aku dapat mengucapkan bait-bait puisi

hanya dengan melihat suasana sebegini

– tetaplah bernafas, dan aku

akan tetap mampu menyusun perkataan

untuk menghuraikan segala-galanya.

 

Setelah daun itu mencapai ke bumi

sinar wajahmu bakal muncul kembali.

 

Penyair yang mencari –

tugasku cuma menceritakan setiap detik

yang terlintas dan tersirat di pinggir waktu;

selalunya tidak lebih daripada itu.

 

Dan kemudian baru aku fahami

maksud kata-kata itu;

buka, buka pintu masa

yang membawa dirimu ke pangkal nostalgia.

 

Buka, buka pintu hati

yang terkunci dalam lingkungan rasa.

 

 

Rifhan Rasuli, Februari 2010

Dublin