Archive for Mac, 2010

Gerai-gerai Di Tepi Jalan

 

Riuh malam

bagai alunan serunai

yang menyusupi perbatasan hati.

 

Di atas bangku di bawah samar lampu

dia terus menanti

derianya menangkap satu demi satu

tubuh manusia yang hadir dan pergi.

 

Sesekali dia mengesat peluh di leher;

pandangannya mendarat ke barang jualan.

 

Sebuah gerai kecil di tepi jalan

seakan bercerita padaku

tentang seluruh hikayat hidupnya

perih meniti pelantar usia.

 

Dia penanti paling setia

pejuang hidup yang mempesonakan

kerana di matanya ada sebidang harap

dalam diam tetap terucap.

 

 

Rifhan Rasuli, Mac 2010

Georgetown, Pulau Pinang