Archive for Mei, 2010

Mimpi Kita

Kita bermimpi

tentang sesuatu yang indah

melambai-lambai di langkahan hari

tentang pemandangan

tentang masa

tentang keabadian dan kesempurnaan

sedang kenyataan berlalu pergi

membawa kita ke penghujung hari.

 

Jika semalam atau hari ini

kita bermimpi lagi

esok tidak akan membuahkan tanda

kerana mimpi kita

tentang kehidupan abadi

tidak akan tergapai.

 

Kita di dalam ruang yang sukar difahami

dan aku

tetap memikirkannya

garisan waktu, kelajuan cahaya

semalam dan esok

kini bergabung dalam penemuan

yang cuma wujud

dalam mimpi kita.

 

 

Rifhan Rasuli, 2006

 

Advertisements

Satira Seorang Seniman Picisan

Dia tidak perlukan hadiah atau pengiktirafan

dia cuma mahukan penonton yang ramai.

 

Karya yang dipersembahkan adalah

tulisan seorang penulis picisan

yang mengutip ilhamnya dari tepi jalanan.

 

Dia lebih menyedari bahawa sketsanya

pasti tidak akan mendapat tempat pertama.

 

Namun hatinya ketawa sepanjang malam

setelah mendengar penontonnya ketawa

dengan satira yang disingkapkannya.

 

Dia lebih awal menerima pialanya, iaitu

ketika menyedari peluang emas terbuka

untuk melemparkan idea dan kritikannya.

 

Satira daripada seorang seniman picisan

adalah mesej buat mereka yang tidak peka.

 

Dan juga sindiran buat mereka yang peka

tetapi terus membutakan mata.

 

 

Rifhan Rasuli, Mei 2010

Georgetown

 

Tiada Dalam Gambar (2)

Semuanya bagai diceritakan semula

kerana selain manusia yang rapuh

ada banyak perkara yang hidup lebih lama.

 

Sementara aku menjadi orang kecil

yang diteduhi pohon mawar.

 

Bau mawar mula memagari seluruh taman

ada tupai yang berkeliaran

ada merpati dalam kawanan.

 

Semuanya kumasukkan ke dalam gambar

agar nanti ia turut dikhabarkan semula.

 

Sementara aku satu-satunya perkara

yang tiada dalam gambar

kerana aku jurufotonya.

 

 

Rifhan Rasuli, 21 Ogos 2009

Hyde Park, London

 

Tiada Dalam Gambar (1)

 

Usah bersedih, jika kau

tiada dalam gambar.

 

Kerana semua peristiwa itu akan menghilang.

 

Kerana mereka laksana lilin

dan engkau kelekatu yang terbang mengelilinginya.

 

Sepertimana kedua-duanya akhirnya malap

begitu juga segala kenanganmu.

Tiada dalam gambar – itulah dirimu.

 

Mereka yang ada dan tiada

tidak pernah dibezakan

apabila setiap ruang serta realiti

bersatu dalam noktah kebenaran.

 

 

Rifhan Rasuli, Jun 2009

Dublin

 

Doa

Bergembiralah, kerana doamu

telah dimakbulkan.

 

Engkau meminta diteguhkan hati

lalu Dia memberatkan bahumu

dengan tanggungjawab.

 

Engkau mencari jalan yang benar

lalu Dia memberikanmu perjuangan

yang disarati derita dan kesukaran.

 

Tuhan dalam rahsia-Nya

mengabulkan hasrat menerusi

cara yang paling aneh

tetapi subur dilimpahi kasih.

 

 

Rifhan Rasuli, Mei 2010

Georgetown

 

Intima

 

Melarutkan jiwa raga

ke dalam samudera keyakinan

adalah sebenarnya mengikat ikrar

sebelum merempuh gelombang menggila.

 

Hati kita akan sentiasa bersemi

dengan damainya kejujuran

bukan seperti buih-buih di lautan.

 

Melarutkan atma adalah bersedia

untuk menyambut tempikan guruh

untuk berakit menyalami badai

pulang, kepada janji yang pasti.

 

 

Rifhan Rasuli, April 2010

Georgetown