Archive for Julai, 2010

Cinta dan Derita yang Dilupakan

Aku berlari di sepanjang pantai mencari

sejambak puspa yang ditinggalkannya

iaitu – sisa-sisa perjuangan

yang tersangkut di bingkai waktu

dan terpenjara di langit biru.

 

Ia menjadi kelopak-kelopak merah

bertaburan dipukul ombak;

ia adalah kesakitan dan kelelahan

yang menjulur ke bumi sepi.

 

Ketika angin bertiup, ada suara sayu

datang berbisik di pelabuhan itu:

‘pejuang, di manakah engkau?’

 

Dia tidak akan memberikan jawapan

kerana jasadnya telah dihanyutkan,

dilukakan, dilenyapkan, dilupakan

oleh sistem yang kian korup.

 

Namun ingatan tentangnya

tetap mekar, semerbak meliliti masa

meskipun yang berbicara tentangnya

hanyalah manusia kerdil seperti aku

tetapi Tuhan tidak pernah lupa!

 

 

Rifhan Rasuli, Julai 2010

Georgetown

 

‘Menghirup Sakar Madumu’

Bahasanya penuh dengan kiasan

lambang pengetahuan dan penguasaan

mantik serta ucapan

yang kupanggil sebagai ‘manipulasi’.

 

Tidak mereka katakan, ia naik

tetapi mereka tegaskan, bantuan dikurangkan.

 

Tidak akan mereka katakan, ia naik

tetapi mereka sebutkan, segalanya perlu diselaraskan.

 

Dan selepas ini, pelbagai drama lagi

akan dipentaskan, menjadi bahan jenaka

yang menyakitkan hati.

 

Maka kamilah, yang dahulu

boleh riang menghirup sakar madu

kini menelan hakikat pahit.

 

Dan kamilah, yang sejak dahulu

disukarkan dalam perjalanan

kini tambah lagi disusahkan.

 

Sedang mereka memandang dari atas

dengan hati dingin, menghisap sakar madu

daripada derita yang tercubit

di dada-dada semakin sesak.

 

 

Rifhan Rasuli, 16 Julai 2010

Georgetown

 

 

Nota: ‘Menghirup sakar madumu’ adalah satu baris yang diambil daripada sebuah sajak karya Usman Awang. Cari sendiri. Ia mengingatkanku pada perkara-perkara yang aku malas untuk tulis di sini, kerana perkara yang akan aku tulis itu akan dipenuhi dengan segala macam kritikan dan kutukan. Jadi lebih baik aku diam.

 

Peribahasa hari ini: Bagai jelongak kerbau rampung