Archive for Ogos, 2010

Jika Aku Seorang Penggubah Lagu

Jika aku seorang penggubah lagu

aku tidak akan mampu, sekarang,

untuk menuliskan lagu-lagu cinta

yang mengkhayalkan minda.

 

Aku tidak akan mampu, pada masa kini,

untuk mengarang lirik-lirik

menghargai keindahan alam dan suasana.

 

Kerana di luar sana dunia sedang bergelora

kezaliman sedang berleluasa

rasuah sedang berkuasa

kebatilan sedang berdansa.

Apakah aku mesti menjadi seekor katak di bawah tempurung

yang hanya memikirkan diri dan ruang lingkupku?

 

Wajarkah aku menzahirkan kehidupan peribadiku

di blog, di facebook atau di mana sahaja

lalu bercerita tentang keasyikan cintaku

buat dibaca seisi manusia?

 

Sedang di luar sana dunia masih bergelojak

penindasan di mana-mana.

Kisah tentang diriku, hanyalah setompok kecil

untuk mereka membuang masa membacanya.

 

Sedang kisah di luar sana, di hadapan mata

meratah kita, masa hadapan kita;

ia adalah cerita tentang perjuangan

ia adalah lagenda tentang keadilan.

 

Maka, jika engkau atau aku

mahu menuliskan nota atau lagu,

coretkanlah kebenaran

atau kata-kata yang baik

atau ucapan peringatan

dengan tinta prinsip dan kejujuran.

 

 

Rifhan Rasuli, Ogos 2010

Georgetown

 

Advertisements