Archive for Februari, 2011

Di Kedai Buku Agama


Merayau di sebuah kedai buku Islami
aku menatap muka-muka hadapan
dan membelek-belek isi dalamnya
warisan ilmu yang tidak terputus.

Pengetahuan itu jika hinggap di dadaku
masih merupakan sesuatu,
meski aku tidak mampu beramal dengannya.

Kerana ilmu tanpa amal, ulang mereka
ibarat pohon tiada buah.
Sedang amal tanpa ilmu, yang kutahu
tiada pedoman pangkal hujungnya.

Lalu ada yang memilih
untuk tidak memiliki ilmu
lantaran takut tidak beramal;
jadilah mereka manusia yang tidak mempunyai
kedua-duanya – ilmu dan amal.

Seketika kemudian, pandanganku melekat
pada barisan kitab-kitab –
ringkasan Ihya Ulumuddin, Bimbingan Mukmin
ringkasan kitab fekah dan hukum
koleksi masyhur sepanjang zaman.

Alangkah lucunya, mengingati mereka
tanpa pendidikan major dalam bidang agama,
mengkritik hukum dan fatwa
yang dikeluarkan oleh ulama’
sesudah hanya membaca satu dua kitab sebegini
– karya-karya yang telah diringkaskan
dan diterjemah ke dalam bahasa Melayu atau Inggeris –
serta blog-blog di internet.

Ibarat orang awam yang baru membaca
laman web dan majalah kesihatan,
lalu berkata kepada konsultan perubatan
‘anda salah!’

Kedai buku kutinggalkan
bersama beberapa naskah yang kubeli
buat mengurang jahil di hati.

 

Rifhan Rasuli, Februari 2011
Pekan, Pahang

 

Advertisements