Archive for Mei, 2011

Diktator dan Sekuntum Bunga

Sekuntum bunga yang halus
hinggap di tapak tangannya.

Di bawah pepohon rendang
angin petang bertiup kencang
setangkai damai enggan bertandang.

Dilihat semula ke dalam tangannya
kelopak puspa kini binasa
darah mengalir di celah jarinya
lekas meruap ke atas dahinya.

Senja berkunjung membuatkannya terasa
tiada ketenangan bagi pendusta
resah menghempas sepanjang hayat
hanya kuasa sebagai sahabat.

Diktator dan sekuntum bunga
pasangan paling tidak secocok
buat dunia yang sudah lapuk.

.
Rifhan Rasuli, April 2011
Georgetown

.

Advertisements

Lukisan Dalam Minda

Lukisan dalam minda
adalah mimpi terpendam
pada diri manusia
tentang rumah dan gunung-ganang
tentang sungai yang mengalir tenang
pohon-pohon mengisi ladang.

Ingatkah engkau, pada zaman kanak-kanakmu
engkau melakar segala impian
pada sekeping kertas putih
sambil memegang pensel warna
wajah dan jiwamu tersenyum gembira.

Ketika kedewasaan menerpa
realiti menjadi nyata
mimpi yang jauh mula kusam disisir usia.

Alam ilusi, mengerdip di langit hati
jadikan ia tempat kembali
saat hidup terlalu jerih
saat sukma terdampar letih
kerana kenaifan waktu muda
mungkin melegakan sebahagian derita.

.
Rifhan Rasuli, Mei 2011
Georgetown