Archive for Jun, 2011

Warna-warna Dalam Sejarah

Di bawah tajam suria memanah
warnanya akan bersinar cerah;
mimpikan – puluhan tahun dari sekarang
ia bakal diceritakan semula
sebagai sebuah lagenda
tentang tangan yang tumbuh sayap
cekal berarak membelah gelap.

Siapa sangka, satu warna yang dahulu
tampak gay dan melambangkan status quo
kini berkibar agung
lantas menitipkan harapan –
ia menggentarkan hati sang munafik
lagu keadilan beralun asyik.

Dengarkan – dengarkan suara bersyarah:
mari menjadi sebahagian daripada sejarah
saat berpesta di bawah matahari –
kita berlari sambil menari
kita menyambut sakit dan pedih
buat kebenaran yang pasti membenih.

.
Rifhan Rasuli, Jun 2011
Georgetown

 

Advertisements

Berjalan Selepas Hujan

Berjalan selepas hujan
dunia bagai dilahirkan semula
pada rumput basah
pada bau daun-daun
udara lembap melingkungi hari
langit biru memayungi bumi.

Melewati lorong dan waktu
deruman kenderaan datang dan pergi
seperti memanggil untuk merenung;
pada zaman ini, kaki jarang digunakan
agar mata dapat memerhatikan
– dengan perlahan dan tenteram –
pemandangan hijau yang mendamaikan.

.
Rifhan Rasuli, Jun 2011
Georgetown