Archive for Ogos, 2011

Membuat Kajian

Graf kita terkandas di dunia dua dimensi
dan itu mengecewakan
rasa ingin tahu kita
yang berkembang serta meronta
di sempadan fiksyen dan fakta.

Segala yang kita anggarkan
terus terkapai lemas
ditelan ratusan pemboleh ubah
dan ribuan data
yang belum mampu kita rumuskan.

O alangkah mudahnya membuat telahan
lalu muncul dengan dakwaan
tanpa melalui setiap urutan
analisis dan proses kajian
bagi mencapai sebuah kesimpulan.

.
Rifhan Rasuli, Ogos 2011
Georgetown
.

Di Perbatasan Musim

Antara kata-kata itu
hening mencelah
ombak mendebur
meragut butiran pasir
yang tadinya tersangkut di kain labuhmu.

‘Masa hadapan,’ ucapku (mataku memandang
batang kayu yang teroleng-oleng),
‘seperti dahan patah
dibawa gelombang yang pecah.’

Bila payungmu disambar angin
sebidang bayangmu mula tersingkap
daripada kesedaran terhadap takdir
dan ketidakrelaan untuk menadahnya
bagai buih-buih yang bergelut
di gigi bebatu
kekal dihadang kelibat tubuhku.

Berada di tengah lautan manusia
atau samudera saujana,
tiada yang dapat membezakan
riuh-rendah dan keasingan
di perbatasan musim tanpa rasa
saat kepastian memangkas dada.

.
Rifhan Rasuli, Julai 2011
Taman Negara Teluk Bahang