Archive for Januari, 2012

Bintang Di Langit Kota

Malam ini engkau mencari
kerdipan bintang di angkasa
dari sebuah kota raya
yang terus dihurung desingan jentera.

Saat kaucerap langit malam
tiada apa pun kelihatan
kerana segalanya telah terlindung
oleh binaan pencakar langit
lampu neon terang-benderang
melimpah-ruah ke segenap ruang.

Maka terkenanglah hatimu
pada kampung halaman
yang malamnya hampir gelap-gelita
gugusan bintang bertaburan saujana
bagai melakar sekeping peta
tentang keagungan cakerawala.

Sanubarimu semakin terusik
ketika mengingati waktu-waktunya
engkau menamakan buruj-buruj
membidik arah utara selatan.

Mencari bintang di langit kota
kini tidak lagi mendamaikan jiwa
malah kian melesukan sukma
seperti wajah bandar raya ini
tampak bertenaga tetapi akhirnya
tersadai sepi dihumban hampa.

.
Rifhan Rasuli, Januari 2012
Georgetown

Advertisements

Persilangan

Siapa sangka, perbualan terakhir kita
begitu panjang
selepas ini keasingan berhembus
dan umpama relik purba, kita bakal terkambus
di bawah timbunan masa
tidak ditemui oleh sesiapa.

Betapa pun licik kalamku menukil madah
aku tidak akan menulis sebarang kalimah
menceritakan kehebatanmu
atau agungnya nostalgia kita
kerana engkau tidak hebat, sama sepertiku
dan segala yang kita harungi
tidak signifikan, di bawah langit Bimasakti.

Perpisahan terjadi
apabila perubahan berlaku
dan engkau menyambut peralihan itu
sedang diriku terus membeku.

Perubahan:
aku teruja menjadi antara pemangkinnya
tetapi bukan sebahagian daripadanya
dan kutahu – suatu hari aku akan menyesalinya.

.
Rifhan Rasuli, Januari 2012
Pekan, Pahang