Archive for Mac, 2012

Introspeksi

Sebelah tangan diangkat separuh
untuk menampan sinaran suam
yang menyambar dari ufuk barat.

Dikelilingi tasik dan angin petang
serta sayup ngauman kenderaan
bahagian alam yang kecil ini
terus bergerak
di dalam ruang yang dibenarkan
oleh pembangunan.

Ketika kita semakin menjauh
daripada kicauan burung
dan dedaun berguguran
sedikit demi sedikit tanpa kita sedari
satu bahagian besar dalam diri
menjadi kian terasing
dikepung ketidakacuhan kita.

Akhirnya ia menjadi tembok batu
yang membutakan mata dan kalbu
daripada melihat kebenaran
dan menghargai ketenteraman.

.
Rifhan Rasuli, Mac 2012
Taman Tasik, Taiping

Advertisements

Penyabung Nasib

Kulambung sekeping syiling
dengan tidak mempedulikan
bahagian mana yang akan tertera
di atas meja.

Lapangan kehidupan terpampang dari pangkal jalan ini
ia adalah sebagaimana kita melihatnya –
tampak sempit jika jiwa tertangkup;
tampak lapang apabila minda dapat menerima
ketentuan yang bakal menjelma.

Tanpa berfikir terlalu jauh
kepala atau ekor – ia menjadi haluan
diharung bersama semangat teguh.

Kerana dalam perkara baik ada kegembiraan
dan di sebalik kesedihan ada hikmah Tuhan.

.
Rifhan Rasuli, Mac 2012
Taiping

Merentas Hutan

Yang kedengaran
nyanyian unggas
dan nafasku
yang tercungap-cungap.

Kemudian bertemu
dengan silhuet ombak
dan angin beralun.
Nafasku mula reda
bersama kedamaiannya.

Kuredahi kembara ini seorang diri
untuk mendengar suara alam
merasai kewujudannya
dan mendengar bunyi nafasku
sebagai menghargai kewujudanku.

.
Rifhan Rasuli, 17 Mac 2012
Teluk Duyung, Taman Negara Teluk Bahang