Archive for April, 2012

Padang Rata

Kita akan tiba di sini
suatu hari nanti
dibawa pergi
daripada kesesakan dunia
ke kesesakan yang sebenarnya.

Di penghujung kembara
seluruh hidup akan terasa
sepantas kilat
saat maut menghambat;
ia sahabat terdekat
penagih ikrar paling nekad.

Sekelip mata, hampir segala yang kita perjuangkan
berhamburan
berpencar di pinggir jalanan
di padang rata
tempat jasad ditimbus semua.

.
Rifhan Rasuli, April 2012
Parit Buntar

Sebuah Buku Puisi Secoret Erti

Aku sedang terkedu di muka pintu, sewaktu
di dada ini engkau lekapkan
sebuah buku
yang mengandung puisi-puisi sayu.

Di tengahnya, satu sajak paling bermakna
tiba-tiba hilang ertinya
kerana nilai seuncang tulus
rapuh laksana benang yang putus.

Setangkai bunga tekap menjadi penanda
helaian yang belum dibaca
dan segala yang tercoret di bahagian seterusnya
kusam dan kuning meluntur warna.

Di muka pintu, malam larut
mataku menelusuri setiap aksara
yang terpenjara
bila akulah penulisnya.

.
Rifhan Rasuli, April 2012
Georgetown

Lawak Terakhir

Lawak terakhir yang kusediakan kini terkubur
bersama sebaris jawapan
yang menitipkan kebenaran
lantas, cermin ilusi dari semalam
remuk-redam.

Biar aku begitu ingin meratapinya,
susur waktu tetap meluncur tanpa suara
lihat – tunas-tunas terus bercambah
dan matahari masih memancar megah;
tiada apa pun yang berubah
masa mengubat segala luka segera kebah.

Demikian kisah ini menjadi satu lagi
busa-busa di langit lazuardi
mengapung, merenggang, menghilang
menyongsongi hati yang enggan melepaskan
sejuta rongga berisi kenangan.

.
Rifhan Rasuli, April 2012
Georgetown