Archive for Ogos, 2012

Masa Yang Ada

Sesuatu yang akan tiba
menggamit
dalam lelah resahku
yang terpaku
pada malam lesu.

Masa yang ada telah rebah di padang datar
di sana segala cabaran seluruh gundah bakal menyasar.

Sesuatu yang akan tiba, pasti tiba
dalam teguh setiaku
yang gemuruh menyambut
timbang takdir di tengah kalut.

.
Rifhan Rasuli, Ogos 2012
Pekan, Pahang

Advertisements

Penunggu Setia

Tidak boleh pergi jauh
atau terlalu lama;
penunggu setia, hayatnya terhampar
pada mimbar
dan sejadah berderetan
di baris hadapan.

Tetapi matanya telah pun memandang jauh
lewat perut tabuh;
penunggu setia, nafasnya tertumpah
pada bayang kubah
pada bakti, kerana dia melihat
menggunakan hati.

Sedang sayapnya sudah lama terbang jauh
mengibar mimpi tidak bertepi
sungai permai dan taman seri;
penunggu setia, laungannya sayup
dari penjuru redup
membingkis budi selagi hidup.

.
Rifhan Rasuli, Ogos 2012
Pekan, Pahang