Archive for September, 2012

Melupakan

Segala memori pedihmu
biarkan terpapar kabur
pada skrin hitam putih;
engkau melihat dari jauh
dan gambaran itu
kian menjauh.

Sebuah kotak kemudiannya
menutupi skrin itu
terkatup kemas.

Kotak itu lalu tercampak
ke tengah lautan;
bersama gelombang air
sedikit demi sedikit
ia tenggelam.

Dan yang tinggal hanyalah
samudera membiru
yang amat kau gemari.

.
Rifhan Rasuli, September 2012
Kuantan

Advertisements

Tiada Di Sana

Setelah ia tiada lagi di sana –
bangunan kedai-kedai dahulukala
stesen bas lama –
tepian sungai ini jadi kelu
hanya deru bot mengisi waktu.

Tiada lagi meriah hentian teksi
dulu di situ ayahku mencari rezeki;
hasil halal keringat sendiri.

Melewati runtuhannya
dan jejantas yang mencecah hujungnya,
tujuanku tidak ke mana-mana.

O para peniaga kecil yang kurindui
ke mana kaubawa daganganmu kini?
masa dan mereka merobek segala yang kita miliki, dan hari ini
engkau tidak lagi di sini
sirna di dasar sejuta memori.

.
Rifhan Rasuli, September 2012
Kuantan

Nota Sisi: Pencari Pantai

Teringat pada suatu masa, bertahun dahulu, aku menjadi begitu terdesak untuk melihat pantai setelah berbulan-bulan tidak dapat sampai ke sana. Suatu hari dalam satu perjalanan panjang bersama kawan-kawan, kami singgah di sebuah stesen bagi menunggu kereta api yang berikutnya. Perhentian itu terletak tidak jauh dari pantai. Dalam masa yang singkat itu aku membuat keputusan untuk bergegas menuju ke arah laut.

Dan apa yang kusaksikan amat melegakan perasaan – pantai di sebuah bandar kecil di bawah cuaca mendung dalam iklim dingin. Ia tidak secantik seperti yang biasa kita jumpa di televisyen atau majalah atau internet, tetapi masih, ia amat mendamaikan.

Pada waktu itu arahan kami adalah dilarang mengambil gambar atau mencatat nama tempat yang kami lalui. Jadi sebagai kenang-kenangan, aku tuliskan sebuah puisi dengan hanya tarikh tanpa nama tempat di mana ia kukarang.

Bandar Kecil Di Persisiran Pantai

Bandar kecil di persisiran pantai
bagai mengajakku pulang
untuk merangkul deburan ombak
dan mengucapkan
beberapa perkataan yang aku sukai
biar nama itu melayang ke tengah samudera
menjadi busa-busa pagi
yang meluruhkan gumpalan udara dingin.

Dari stesen ke stesen,
takdir ini menumpahkan sedulang derita
dan di perhentian berikutnya, kudapati
diriku masih di pesisir pantai
kembali menyebut kata-kata itu.

Rifhan Rasuli, April 2009

Kini aku sudah lupa nama bandar di pinggir pantai itu.

Suatu hari nanti aku ingin tinggal di tepi pantai, di dalam sebuah teratak kecil. Rumahku tidak perlu besar – rumah besar ada terlalu banyak bilik kosong.

Dalam hidup ini, tanpa kita sedari, kita tidak perlukan terlalu banyak perkara. Cukup hanya makanan yang seadanya, tempat berteduh, perjuangan, menghirup udara segar dan memandang cahaya matahari, dan sedikit puisi bagi menyerikan suasana.

.
Rifhan Rasuli, September 2012
Pantai berdekatan Taman Teruntum, Kuantan

Pejalan Kaki

Ke mana tujuanmu?
pejalan kaki, di tepi jalan raya ini
sekelilingmu belukar hijau terbentang
ladang saujana mata memandang
hentian mana sudi menyambut orang gelandang?

Menjelang senja
suasana terus aman sentosa
dalam nafasmu berjurai udara sejahtera
o hayat yang permai selama-lamanya.

Pejalan kaki di bawah langit redup di tepi landskap hidup
langkahnya diatur penuh luhur
perlahan-lahan, setiap saat terasa tenangnya
ketika hati sentiasa cukup dengan apa yang ada.

.
Rifhan Rasuli, September 2012
Pekan, Pahang