Archive for Oktober, 2012

Mesej

Kali ini engkau terlebih dahulu
mengungkapkan
sesuatu yang lama mahu kulafazkan.

Bulan separuh menyinar janggal
di bawahnya wajah ceriamu dan tubuh gugupku
menjadi lukisan
di tengah-tengah kotak kehidupan.

Satu huruf daripadaku, luruh ke kaki waktu
pada bicara yang belum sempurna
tetapi engkau, dalam sambil lewamu
mampu mentafsir segala-galanya.

Siapa peduli tentang ucapan
asal mesej mampu disampaikan
oleh jiwa bertaut kesanggupan?

.
Rifhan Rasuli, Oktober 2012
Kuantan

Advertisements

Membesarkan Rumah

Hampir seluruh usia cekalmu
tertarah demi teratak itu –
rumah papan berkamar dua
bilik air dinding zink di belakangnya
tandas kayu di luar sana
semak-samun di mana-mana.

Peluh yang menyirami ladang
sentiasa lekas dibawa pulang
buat membesarkan tempat tinggal;
mimpi kecil yang tidak boleh dibeli jual.

Lama-kelamaan, ia menjadi lebih lapang
mahligai untuk keluarga tersayang.

Kisah peneroka di desa tersisih
hati terhibur meski tubuh disadur jerih
senyum dituai dari sebidang kesetiaan
di tanah di rumah berbumbung perjuangan.

.
Rifhan Rasuli, Oktober 2012
Kuantan