Archive for November, 2012

Dalam Sujud Syukurku

sujud
Dalam sujud syukurku segala kebaikan
kuhubungkan semula pada-Mu
pada setiap nafas
pada setiap saat
pada setiap sesuatu yang tidak kusedari.

Segala puji melimpah ruah
hanya untuk Yang Maha Pemurah.

Namun dalam sujud syukurku juga
aku masih meminta
mengimbuh hajat
tanpa segan selepas diberi pelbagai nikmat.

Tetapi aku tahu
Engkau tidak pernah jemu
dengan permintaan
malah menyukainya.

Maka dalam sujud syukur
kulafazkan sanjung tidak terkata
kupanjangkan lagi doa dan pinta
dalam kerdilnya aku
di naungan rahmat-Mu.

.
Rifhan Rasuli, November 2012
Kuantan

Kertas Beterbangan

Kertas-kertas beterbangan
sebelum hujan
turun
menyisir malam.

Bergenang di kaki lima
tompokan peristiwa
dan kepingan kertas yang gugur
kehilangan tulisan
dan makna wujudnya.

Sepi pun menyusup
dalam kekusutan
melusuhkan
erti kejadian.

.
Rifhan Rasuli, November 2012
Kuantan

Sepanjang Malam

Retak pada cermin
memusat ke satu arah
di tengahnya, tanganmu tergenggam
gundah menjalar sepanjang malam.

Engkau pun menjadi ratusan
pada kepingan
yang memantulkan warna
dan cahaya
terpancur ke lantai dan dinding
melingkar hening.

Degup jantung
mula mengalir di celah retakan
suam, merah, berdarah
namun golak sukma
menyamarkan segalanya.

Pada cermin pecah
setiap rasa akan pulang
ke wajah murungmu.

.
Rifhan Rasuli, November 2012
Kuantan