Archive for Januari, 2013

Waktu Kebenaran Tidak Berguna

buruh kereta api maut jepun

Berapa banyak lagi fakta mesti dibentangkan
sebagai bukti segala kecurangan?

Sehingga kini, kita terlalu asyik ketawa
dan bercinta
hingga peristiwa yang berlegar tidak terasa pentingnya.

Atau, kita terpukau oleh rasa selamat
diulit kepalsuan – lantas ditipu sampai kiamat.

Kebenaran o kebenaran, senyata mana sekalipun tertera
ia kekal tidak berguna
jika kita enggan mengendahkannya.

Bisu dalam tahu – menjadikan kita dan mereka
sama-sama berdosa.

.
Rifhan Rasuli, Januari 2013
Pekan, Pahang

Hati Kristal

crystalised_by_nikkothenerd-d4hfx2t

Sebelum engkau bersaksi pada kebenaran
telah kaubentangkan sehelai sutera
sebagai dendangan
di tasik nurani.

Selepas engkau bersaksi dengannya
maka jadilah engkau
pucuk-pucuk yang mula menguntum
menjadi kembang pagi
di sawah pengujian.

Dengan kebenaran itu
engkau akan menjadi
seorang manusia dengan sekeping hati
yang hidup dan merdeka.

.
Rifhan Rasuli, 2004

Langsir Memutih

IMG_0277

Sinar suam berjurai ketika kulontarkan
pandanganku ke kota yang sesak kucar.
Sewaktu kauhampiri jendela ini,
wajahmu antara muncul dan menghilang
di celah lambaian langsir mengerbang.

Cahaya putih dan tirai putih, barangkali
menghantar lamunanmu jauh
ke masa-masa bahagia
sekarang atau beberapa tahun mendatang.

Angin sedang berpuput ketika senyummu
mahu kuabadikan dalam memori pagi.

Sayangnya, cahaya dan tirai putih itu juga
membawa fikiranku lebih jauh
ke tahun dan dekad mendatang –
kain putih, puspa memutih
adalah yang akhirnya mengiringi kita
ke suatu tempat bukan di sini.

Lalu, helaian langsir kembali menabirimu
bagai ingin meninggalkan tanda, bahawa
tiada apa pun yang kekal selamanya.

.
Rifhan Rasuli, Disember 2012
Kuantan