Archive for Jun, 2013

Wilayah Jauh

dscn0530

Engkau pun pulang ke wilayah jauh
yang membangkitkan seribu kenangan
tentang asal-usulmu
berlegar pada desa damai
pada belantara dan sungai
pada angin segar merembas
kawanan mergastua berkicau bebas.

Namun bila tiba di sana, kautemukan cuma
daerah asing
dalam canggung yang memagut
ketika kaki terpalit selut
dalam risau ketika meredah malam gelita
dalam bosan tanpa internet dan pasar raya.

Anak kampung yang terkurung di kota
rupanya telah terbiasa oleh hiruk-pikuknya
oleh mesin jentera
oleh gemerlap cahaya
oleh muzik dan pesta
deretan gedung berdiri bangga.

Engkau adalah di mana hidupmu terbentang
kerana masa memisahkan jati diri
daripada realiti
lalu tanpa disedari
perubahan terjadi
dalam sekeping hati itu
tatkala terkejar mengekor waktu
yang sebenarnya telah lama menewaskanmu.

 
Rifhan Rasuli, Jun 2013
Rompin

Di Birai Katil Antik

bed

Aku faham benar apa yang cuba dimaksudkan
ketika kaukatakan: semua manusia akan menjadi tua.
Di birai katil antik, mataku terpandang
sekujur jasad yang menjadi penumpang
gerabak waktu
kian hampir ke destinasi dituju.

Aku menjadi lebih faham, ketika kuperhatikan
segala-galanya dalam satu kesinambungan;
seluruh hidupmu
pengalaman, peristiwa, perasaan
berbingkah, bersatu, berlumuran
hingga sampai ke titik ini – di katil antik yang sugul itu.

Melihat semuanya dari kesudahan
hayat dirasakan tidak punya banyak pengertian.

Betapa kita ingin masuk syurga
tetapi tidak mahu mati;
betapa kita rindu bertemu Tuhan, Kekasih Sejati
tetapi tidak mahu mati.

Masa memberikan kita segalanya
ia juga mengambil semula apa yang ada
namun tanpa diduga, akhirnya
ia menitipkan satu-satu perkara yang kita kejari:
Kepastian – melahirkan sekuntum abadi
buat hati yang sering mencari.

 
Rifhan Rasuli, Mei 2013
Kuantan

The Abandoned Letters

mailbox,country,letter,mail,box,photography,love-9a8ef10bc0d9da7bd7146b4cd33bc908_h_large

This is the house of letters
where the purest snowfalls are
scattered in the balcony
too much, unreached messages
too much, tainted loyalty
melting under the sunlight
that blossoms via the opened window.

The most hilarious idea is that
thing which we hope to be a salvation
has now become a mere mirage
coming from nowhere, leaving for nowhere.

This is the home of all occasions
running from a note to another rhythm
where some hopes are taken away
and some are fading inside the glitter.

Some are dispersed in the wind
some become a song in the living room
listened by no one but the spinning bubbles
descending into our wildest dreams
of a peaceful moment.

 
Rifhan Rasuli, 2008
Dublin