Archive for April, 2014

Lagu Zaman Sekarang

konsert

Lagu-lagu zaman sekarang
mesejnya terlalu berterus-terang
tiada eufemisme atau metafora
seni katanya kekurangan rima
kadangkala loghatnya rojak
terpekik sumbang melalut melalak.

Lagu zaman ini pudar irama
setengahnya hanya berkata-kata
tanpa iringan muzik, lenyaplah merdunya
penyanyi lelaki hilang kejantanan
bila nada suaranya seperti pondan
penyanyi wanita hilang kelembutan
bila kesopanan bukan lagi hiasan.

Bagaimana, dengan lagu zaman ini
aku boleh jatuh cinta lagi
atau mengutip nasihatnya
atau menghargai inspirasinya
jika liriknya dicipta
tanpa setulus keindahan bahasa?

 
Rifhan Rasuli, April 2014
Kuantan, Pahang