Archive for Jun, 2014

Semua Mahu Menyanyi

hedonisme

Aku yang jarang menonton tv
kerana bosan dibohongi
suatu hari membukanya
dan yang kujumpa
rancangan-rancangan nyanyian
semua mahu menyanyi menari
kanak-kanak, dewasa, hatta yang tua bangka
itu dia bangsa celaka.

Apakah zaman yang telah bertukar
atau kebodohan kian menular?
anak-anak yang sepatutnya belajar mengaji,
ilmu akademik dan seni bela diri
kini dari kecil diajar menyanyi.

Kegilaan ini terus melarat
lupa tugas lupa tempat;
yang dewasa sepatutnya bekerja kuat
mendidik keluarga membangun masyarakat
pergi beriadah untuk tubuh sihat;
yang tua sepatutnya banyakkan ibadat
rumah kata pergi kubur kata mari dekat.

Berapa ramai terkedek-kedek ingin jadi idola
ingin famous dikenal semua
daripada bergegas mengejar kemajuan
atau berjuang menegak hukum Tuhan.
Lalu apabila ketinggalan
atau terhimpit dalam kemiskinan
heboh bersungut salahkan kerajaan
salahkan pembangkang sabotaj bawa kemunduran
bangsa lain dikambinghitamkan
negara asing disyaitankan.

Bangsa kuat menyanyi
bangsa layu jati diri
digilis arus hedonisme
pudar agama pudar budaya
sehingga tiada apa yang bersisa
walau tanah sekangkang kera.

 
Rifhan Rasuli, Jun 2014
Kuantan

Advertisements