Archive for Julai, 2014

Perokok Tegar

3-excuses-for-smoking-1

Berdiri santai di tepi jalan
menghirup udara malam nan nyaman
sebatang rokok lalu dicucuh
ke dalam darah nikotin dibancuh
bayu segar bertukar lusuh.

Perokok tegar o perokok tegar
sehari sekotak sanggup dibayar
sehari sekotak setahun 365 kotak
gaji sejemput tinggal seciput
bila sakit minta kerajaan
untuk tanggung kos rawatan
diberi inhaler dipakai tidak
seminggu sekali sedut nebuliser
batuknya sedak nafasnya sesak.

Perokok tegar o perokok tegar
menyemai penyakit ke dalam badan
COPD, serangan jantung, angin ahmar,
kanser paru-paru, kanser usus, kanser perut,
kanser hati, buah pinggang dan kanser mulut
kencing manis dikawal susah
luka dan patah lambat kebah
masa muda rasa cool
masa tua derita dipikul.

Perokok tegar o perokok tegar
tiada peduli hukum dan fatwa
di tempat awam asap dihembus
perokok pasif jumlahnya beratus
orang yang dizalimi terus terhimpun
bila mahu memohon ampun?

Perokok yang mahu terus tegar
walau amaran sudah didengar
‘apakan daya,’ kata mereka, ‘sudah ketagih’
– hendak seribu daya tak hendak seribu dalih
lautan luas direnangi, gunung tinggi didaki
rokok pula tidak mampu berhenti
kekal mendera tubuh dan minda
teman setia ke hujung nyawa.

 

Rifhan Rasuli, Julai 2014
Kuantan-Pekan