Archive for Februari, 2015

Warna

Colours

Tiba-tiba, aku berupaya
melakarkan rasa dengan segala warna.

Semuanya terletak di hujung pena
bagaimana kuputarkan bahasa
dan metafora.

Hitam kelabu kuning pucat tidak lagi berduka
merah biru hijau tidak semestinya gembira
setiap sempadan boleh direntas
prisma hayat seluruhnya tercapah tiada batas.

Warna dan kehidupan
pelangi segenap wajah segenap kejadian
kulukis dengan hati teruja
bersama minda bebas merdeka.

 
Rifhan Rasuli, Februari 2015
Ibam

Advertisements

Sampah-sarap Di Tepi Pantai

IMG_20150222_143229

Botol, selipar, pinggan polystyrene
kotak, beg plastik, tali dan tin –
sampah bersepah di sepanjang pantai
landskap segar bertukar longlai.

Pengotor, selekeh, haprak
tidak bertanggungjawab, mentaliti kelas ketiga, bongak:
mereka yang berkelah, berkhemah atau berparti
lalu meninggalkan sisa di sana sini.

Nanti bila alam mulai bosan
ia tidak perlukan gempa atau taufan
cukup dengan air kencing tikus dan denggi
wabak penyakit melanda negeri.

Tangan-tangan manusia yang tidak faham bahasa
merosakkan bumi yang dipusakainya
sehingga suatu masa
kita sendiri yang akan binasa.

 
Rifhan Rasuli, 22 Februari 2015
Tanjung Selangor, Pekan, Pahang