Archive for September, 2016

Tahun-tahun Yang Kauberikan

years

Tahun-tahun yang kauberikan
kini menjadi segulung filem
merekodkan cerita dan ingatan
dalam rela dalam paksa menerjah fikiran.

Sepantas kilat, ia tercermin di depan mata
seperti masa, ya, seperti masa
yang berlari di garis takdir
seakan semalam ia baru hadir.

Tahun-tahun yang telah kuabai
kini muncul semula, membelai
sekeping hati nan kegeringan
dibalut kesal yang berpanjangan.

 
Rifhan Rasuli, 28 September 2016
Bukit Ibam

Advertisements

Aku Ingin Kembali Ke Waktu Itu

img_20151010_163642-copy

Aku ingin kembali ke waktu itu
saat sungai masih mengalir
rasa yang suam, rasa yang dingin
rasa yang tenang atau berkocak
hanyut semuanya ke kuala hidup.

Di tepinya, tebing teguh dan tanah subur
terbentang
buat kita menyemai harap
pergi membaja pepohon hasrat.

Aku ingin benar, kembali ke waktu itu
saat sungai atau dataran atau apa sahaja
masih terhampar di hati kita
dalam segala rasa
dalam setiap ketika.

 
Rifhan Rasuli, 26 September 2016
Bukit Ibam

Setelah Hujan Reda

drizzle

Setelah hujan reda, dari dalam klinik,
aku mendengar saki-baki yang masih menitik
rintik-rintik
berteman panggilan katak, berteman nyanyian cengkerik
yang tak akan serik
mengiring malam yang kian asyik.

Aku pun semakin tenggelam
di antara melodi alam
berjurai, berderai
biar ia pecah berkecai
lalu larut dan bersebati
dalam waktu yang ingin abadi.

 
Rifhan Rasuli, 23 September 2016
Bukit Ibam