Warna

Colours

Tiba-tiba, aku berupaya
melakarkan rasa dengan segala warna.

Semuanya terletak di hujung pena
bagaimana kuputarkan bahasa
dan metafora.

Hitam kelabu kuning pucat tidak lagi berduka
merah biru hijau tidak semestinya gembira
setiap sempadan boleh direntas
prisma hayat seluruhnya tercapah tiada batas.

Warna dan kehidupan
pelangi segenap wajah segenap kejadian
kulukis dengan hati teruja
bersama minda bebas merdeka.

 
Rifhan Rasuli, Februari 2015
Ibam

Sampah-sarap Di Tepi Pantai

IMG_20150222_143229

Botol, selipar, pinggan polystyrene
kotak, beg plastik, tali dan tin –
sampah bersepah di sepanjang pantai
landskap segar bertukar longlai.

Pengotor, selekeh, haprak
tidak bertanggungjawab, mentaliti kelas ketiga, bongak:
mereka yang berkelah, berkhemah atau berparti
lalu meninggalkan sisa di sana sini.

Nanti bila alam mulai bosan
ia tidak perlukan gempa atau taufan
cukup dengan air kencing tikus dan denggi
wabak penyakit melanda negeri.

Tangan-tangan manusia yang tidak faham bahasa
merosakkan bumi yang dipusakainya
sehingga suatu masa
kita sendiri yang akan binasa.

 
Rifhan Rasuli, 22 Februari 2015
Tanjung Selangor, Pekan, Pahang

Pokok-pokok rambutan

rambutan

Pokok-pokok rambutan
di bawahnya pangkin beratap
di tepi rumah besar
di sebuah desa nan permai.

Petangnya, di bawah pepohon redup itu
lelaki tua duduk istirehat
di pangkin kayu
sambil memerhatikan rumahnya
dan halaman, dan tumbuh-tumbuhan
dan jalan kecil di depannya.

Di matanya terpancar seluruh hidup
habis dengan perjuangan
pada sebidang tanah
yang telah dia tumpahkan segenap kesetiaan.

 
Rifhan Rasuli, Januari 2015
Kamunting

 

Kabus

IMG_20141220_075727

Zarah-zarah air
menerpa muka
sewaktu aku meluncur
di atas motosikal
lewat daerah perbukitan
diselimut kabus
yang mewarnai lingkungan pagi.

Rimba belukar
paya dan sungai
ladang-ladang getah
melakar segenap panorama
sepanjang perjalanan sejahtera.

Sehingga jam sembilan
kabut masih berbaki
bersama hari
yang beredar dan malam nanti,
kita bakal bertemu lagi.

 
Rifhan Rasuli, Disember 2014
Bukit Ibam

Kelmarin

1607703101_cee69150c3

Setangkai bunga raya
engkau letakkan
di atas meja di tepi pagar;
aku tidak tahu apa signifikannya
tetapi aku faham bagimu
ia memiliki erti tersendiri.

Senja pun bertamu
masa berlalu
tahun demi tahun
terlepas meninggalkan kelopak-kelopak
bertebaran
di atas mejanya, di tepi pagarnya;
dan mesej yang ingin kausampaikan
tidak pernah terungkai.

Pada usia sore ini jika diungkit kembali
segala yang pernah terjadi
kita akan bertelut
susut
pada jambangan kenangan
dan realiti betapa singkatnya
sebuah kehidupan.

 
Rifhan Rasuli, November 2014
Bukit Ibam

 

Penyair Dan Sekawan Bangau

bangau

Dalam gelita di tepi wilayah lopak
tanpa bintang tanpa bulan
tiba-tiba, sang penyair
menangkap tompokan putih
di antara rerumput dan belukar
di celah rekahan mimpi kian pudar.

Ia memantulkan cahaya, bersinar terus bersinar
laksana buruj
bergemerlapan
menunjuk haluan
mencurahkan ketenangan.

Penyair dan sekawan bangau
di daerah sayu sunyi terasing
menjadi sekeping potret
yang kekal
bisu dan kumal.

 
Rifhan Rasuli, Oktober–November 2014
Bukit Ibam

 

Hujan Di Perbukitan

Rain_off_the_Hills_HDR_by_sharkbite1414.png

Mendung di kawasan perbukitan
yang agak pedalaman
mengelamkan lagi suasana sedia redup
sekawan burung bercempera
dan berarak awan mega.

Ketika hujan turun mencurah
engkau tidak mendengar apa lagi
kecuali suara lebatnya
separuh menggerunkan, separuh sentosa
dalam gelap membalut warna.

Selepas hujan berhenti
engkau keluar memerhati
dunia yang diselimuti kabus
dan nyanyian serangga
dengan jiwa terbaring lega.

 
Rifhan Rasuli, Oktober 2014
Bukit Ibam

 

Simbolisme

images

Simbolisme – barangkali dirimu
tidak mampu memahaminya
saat langkah kauatur dari sini
dan pintu ditutup
aku menerima jawapan jelas
lebih dari segala ucap bahas.

Yang berbaki di belakang dinding
selain gundah
adalah amarah
pada sebuah kekacauan
yang disengajakan
bagai terbongkar semua cerita
bagai tersingkap setiap rahsia.

Selamat tinggallah rancangan
ditikam satu ketika
langkah diatur
mimpi tersungkur
sedetik yang menukarkan
seluruh jalan kehidupan.

 
Rifhan Rasuli, Oktober 2014
Kuantan

Momento

dream21

Engkau tidak dapat apa kaumahukan
mimpi yang disimpan bertahun-tahun
tetapi engkau tidak peduli
kerana hidup memang begitu
dan dirimu pula
sudah biasa dinafikan
sesuatu yang dihajati
namun sebagai balasan
engkau peroleh
banyak perkara yang tidak dijangka
yang tidak kaupinta, kauterima dengan tangan terbuka.

Engkau akan terus melangkah ke hadapan
bagai manusia naif yang tidak mengerti suatu apa pun
dan segala kehampaan
diimbangi oleh rasa syukur
dalam sebuah kehidupan di bumi Tuhan.

 
Rifhan Rasuli, September 2014
Temerloh

Kehilangan Kata

IMG_20140622_085256
Kini aku kehilangan kata
untuk menterjemahkan rasa ini
bunyi angin dan suara ombak
serta pemandangan
yang terhampar dan bermanik
di sepanjang pergelandangan asyik.

Penyair kumal dalam kejujurannya
cuba merakamkan segalanya, tetapi
setiap bibit bicara menjadi klise
di dunia didendangi lagu pembunuhan,
propaganda dan politik murahan.

Bagaimana kesejahteraan mampu kusenandungkan
di pentas global yang digenangi kegusaran?

 

Rifhan Rasuli, 10 Ogos 2014
Pantai Sepat, Kuantan

 

Newer entries » · « Older entries