Archive for Jun, 2012

Puduraya

Kini namamu bukan lagi dalam bahasa asalnya
mereka menukar ‘raya’ kepada ‘sentral’
barangkali kerana mahu dilihat kontemporari
walau hilang identiti diri.

Di sekelilingmu terbentang wilayah
yang tidak lagi kukenal;
cuma yang kekal –
warga kota dalam sibuknya
jalan raya sesak menggila.

Selepas bertahun, kulihat engkau
dengan wajah baru
yang menyimpan ingatan
sebahagian kepingan hidupku
memilikimu sebagai transit perjalananku.

Semoga ini kali terakhir namamu diubah
jangan nanti warisan sejarah
hilang semuanya, ditukar kepada nama
tokoh yang didakwa berjasa.

.
Rifhan Rasuli, Jun 2012
Kuala Lumpur

Panggil Namaku

Panggillah namaku
ketika aku sedang bermenung
ketika kau sedang tersenyum
pertemuan ini
seakan tiada penghujung
di rumah ini
kita bagaikan perindu
yang ditemukan semula
setelah melalui tahun-tahun sepi
di daerah suram tidak bertepi.

Pada waktu itu
semasa kaupanggil namaku
sejalur cahaya memancar
daripada redup wajahmu
bagai bermanik di lehermu
kalung yang menghiasi dadamu
sekuntum puspa gugur
di luar sana
sebagai tanda pertemuan
dan perpisahan ini.

Selamat tinggal.

.
Rifhan Rasuli, 2005
Pekan, Pahang.

Empati

Adakalanya kita ingin tunjukkan
bahawa diri memahami
tetapi apa yang terjadi
menyiram minyak di atas api.

Adakalanya tujuan kita hanya
mahu melahirkan simpati
tetapi yang kita lakukan, tanpa sengaja
melumat garam di atas luka.

Hidup menjadi rumit
apabila kita terlalu naif
untuk menimbang sebab dan akibat
dan perkara yang kita niatkan, adakalanya
bersanggahan dengan apa yang berlaku
maka lebih baik, dalam keadaan begitu
kita berpura tidak tahu.

.
Rifhan Rasuli, Jun 2012
Langkawi